Semua pihak perlu menghormati apa juga keputusan Majlis Raja-Raja kelak.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati apa juga keputusan Majlis Raja-Raja kelak, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Kita perlu menghormati keputusan Majlis Raja-Raja. Orang politik jangan heret rakyat dengan isu yang rakyat tidak terlibat,” kata pensyarah dari Universiti Malaya (UM) itu kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dilaporkan, Majlis Raja-Raja bakal mengadakan pertemuan khas di Istana Negara pada 25 Oktober.

Mesyuarat itu difahamkan bagi membincangkan beberapa cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Susulan pertemuan itu pelbagai spekulasi telah tercetus termasuklah pelaksanaan darurat.

Mengulas lanjut, Awang Azman meluahkan rasa hairannya terhadap keperluan untuk pengisytiharan darurat pada ketika ini.

Memahami negara kini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang berada pada gelombang ketiga, namun beliau berpendirian kerajaan masih mempunyai pilihan lain termasuklah melaksanakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebagai cara utama untuk menangani wabak tersebut.

Selain itu tambahnya, menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga pengisytiharan kawasan keselamatan setempat bagi kawasan yang terjejas dengan Covid-19 boleh dilakukan demi mengawal penularan.

Katanya, antara yang boleh dikuatkuasakan sebagai kawasan keselamatan seperti di Batu Sapi.

Dengan cara ini,  fokus yang akan diberikan di kawasan berkenaan adalah menangani Covid-19 sahaja, kata beliau lagi.

“Kita ada Akta MKN yang membolehkan sedaya upaya pelbagai usaha dilakukan sebelum jalan akhir meminta YDPA mengisytiharkan darurat.

“Namun jika diusulkan darurat seolah-olah kerajaan yang ada kurang berfungsi dengan baik. Jadi, kenapa nak memilih darurat?

“Sebenarnya kita ada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang masih lagi boleh digunapakai tetapi jika darurat seolah-olah kerajaan sekarang berputus asa.

“Kita ada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Noor Hisham Abdullah) yang mempunyai komitmen tinggi untuk membanteras pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Mengsytiharkan darurat di Malaysia juga bagi Awang Azman akan menyebabkan timbulnya persoalan, adakah ia mempunyai kaitan dengan dakwaan sokongan majoriti yang dibuat Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Mahu atau tidak ujarnya, perkara itu akan dipersoalkan dan menjadi pertikaian.

Sehubungan itu beliau menambah, seluruh barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan bahawa kesemua mereka tidak berputus asa berusaha menangani Covid-19 termasuklah juga berhadapan seterusnya menangani isu politik yang tercetus.

Beliau juga tidak menolak antara cara terbaik adalah dengan menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat menyelesaikan masalah yang timbul.

“Kerajaan perlu menggunakan medan demokrasi yang ada untuk melawan dakyah persepsi tuduhan hilang sokongan majoriti, lawan di sidang Dewan Rakyat. Ini proses paling demokratik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette