Petugas Kementerian Kesihatan melakukan persiapan dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum menjalankan tugas pemeriksaan saringan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah Flat Pelangi, Damansara. foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Selepas negara dikejutkan dengan kes baharu Covid-19 empat angka iaitu 1,228 kes semalam, angka terbaharu hari ini kembali ke tiga digit, 823 kes, sekaligus memberi semangat baharu kepada pasukan kesihatan untuk terus memerangi melandaikan rantaian pandemik maut itu di dalam negara.

Tiada kes import dilaporkan dalam perkembangan terbaharu itu setakat 12 tengahari tadi sekaligus menjadikan jumlah kes positif dalam negara adalah 26,565 kes dan jumlah kes aktif
dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 9,202 kes dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Malah mengikut pecahan negeri Sabah terus merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 533 kes hari ini daripada keseluruhan kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 579 kes dicatatkan pulih sepenuhnya dan didiscaj dari wad hari ini, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 17,134 kes (64.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Mengikut pecahan kes positif baharu mengikut negeri, Sabah merekodkan bilangan kes baharu tertinggi berbanding negeri lain iaitu 533 kes (64.8 peratus) daripada keseluruhan kes dilaporkan hari ini.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan kes sebanyak 356 kes (40 peratus) berbanding jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di negeri Sabah semalam berikutan jumlah kes baharu yang dicatatkan daripada Penjara Kepayan, Kota Kinabalu telah menurun daripada 434 kes baharu semalam, kepada 67 kes baharu pada hari ini.

“Usaha gigih mengesan lebih banyak kes akan diteruskan di seluruh negeri Sabah yang kini mempunyai 17 daerah merah dan buat masa ini kapasiti di sembilan hospital di Sabah adalah 1,219 katil (kadar penggunaan 59 peratus) manakala, kapasiti di 25 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah 4,505 katil (kadar penggunaan 35 peratus),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di kementeriannya petang tadi.

Justeru kata Dr.Noor Hisham, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 99 kes (12 peratus dari jumlah keseluruhan kes) dan 44 kes (44.4 peratus) daripadanya adalah dari kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Menurut beliau, negeri-negeri ini dan juga negeri Sabah masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ujar beliau, sejumlah 162 kes atau 19.7 peratus dari jumlah keseluruhan kes hari ini mewakili Kluster Seberang Perai, Kluster Penjara Penjara Kepayan dan Kluster Tembok iaitu sememangnya terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Daripada itu, sebanyak satu kes merupakan pengunjung yang pulang dari negeri Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 469 kes.

“Berdasarkan perincian kes negeri, selepas 533 kes di Sabah, Pulau Pinang merekodkan kes kedua tertinggi iaitu 97 kes positif, diikuti Selangor (88 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (26 kes), Negeri Sembilan 22 kes, Sarawak 16 kes, Johor, 15 kes, WPKL, 10 kes, Terengganu tujuh kes, Perak enam kes dan Kedah, Kelantan dan Putrajaya masing-masing merekodkan satu kes baharu positif.

“Jumlah kes yang pulih mengikut negeri adalah Sabah merekodkan jumlah kes pulih berjumlah 288 kes hari ini; Selangor 93 kes pulih; Pulau Pinang (89 kes pulih), Kedah (81 pulih), Perak (15 kes pulih), WP Labuan (5 pulih);WPKL dan Putrajaya 4 kes pulih; Negeri Sembilan dua kes pulih dan Melaka dan Sawarak masing-masing merekodkan satu kes pulih hari ini.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nampaknya usaha mengawal COVID-19 virus buatan manusia ini menjadi semakin bertambah sukar! Disaat sukar, berjimatlah dalam berbelanja!

    Jom gerakkan kempen #BoycottFrench&DAPProducts!

Comments are closed.