Datuk Seri Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak mengisytiharkan perintah darurat adalah keputusan yang terbaik untuk Malaysia.
Katanya, Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu melalui keputusan tersebut telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan.
“Patik yakin Kerajaan Perikatan Nasional akan mengusahakan apa jua yang sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Menurut ADUN Rantau itu, keputusan tersebut sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik global ini.
“Kebijaksanaan dan hikmah DYMM Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patek bahawa institusi Raja mempunyai peranan Perlembagaan yang sangat penting dalam pentadbiran negara ini.
“Untuk kesekian kalinya, DYMM Tuanku serta Duli-Duli YMM Raja Raja Melayu terus mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya.
“Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.  – MalaysiaGazette