Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, SAC Willey Richard menunjukkan barang rampasan mengenai kejayaan tangkapan sindiket penipuan pelaburan saham atas talian warga China ketika di Menara KPJ, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan saham di China yang menyasarkan rakyat negara itu sebagai mangsa tumpas apabial 12 ahlinya ditangkap.

Kesemua suspek warga China, termasuk dua wanita, berusia antara 23 hingga 37 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 23 Oktober lalu.

Pengarah JSJK, Komisioner Datuk Zainuddin Yaakob berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek masuk ke negara ini tahun lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial dan operasi sindiket penipuan pelaburan saham itu dijalankan di negara ini sejak September tahun lalu.

“Taktik mereka adalah kerap berpindah randah dan menjadikan kondominium mewah dan hotel mewah di sekitar Lembah Klang sebagai pusat aktiviti terlarang itu.

“Pusat panggilan yang beroperasi di sini mereka menggunakan untuk memancing dan memperdaya mangsa warga China menggunakan aplikasi We Chat tanpa bersemuka.

“Antara aktiviti sindiket ini adalah mempromosi dan mempengaruhi pelabur tentang saham China yang berpotensi membawa keuntungan melalui transkrip yang disediakan ketua sindiket yang ada di China yang mana setiap pelabur perlu memuat turun aplikasi pelaburan yang disyorkan sindiket sebelum terlibat urusaniaga lain.

“Sebenarnya mereka hanya bekerja dan tidak mengetahui selok-belok pasaran saham yang diperdagangkan ketuanya dan diajar mewujudkan kumpulan melalui We Chat yang menunjukkan keadaan semasa pasaran saham di China.

“Apabila pelanggan berjaya diperdaya dan dipujuk untuk melabur wang dalam produk yang tidak wujud itu (pelaburan saham China) tugas mereka tamat di sini dan segala urusniaga transaksi dan jumlah wang hendak dilabur pelanggan akan diuruskan sindiket itu yang berpangkalan di China secara maya menggunakan We Chat Pay atau Alipay tanpa perlu bersemuka,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Menurut Zainuddin, kebanyakan ahli sindiket itu diberi latihan untuk mempengaruhi mangsa dan meyakinkan mereka untuk membuat pelaburan berskala besar.

Katanya, 40 peratus daripada keuntungan hasil pelaburan pelanggan dalam saham China itu akan dimasukkan dalam akaun dana hujung tahun kepada anggota sindiket pusat panggilannya yang beroperasi di Lembah Klang.

“Ini membolehkan ketua sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud ini mampu membayar gaji tinggi antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan setiap ahli sindiket serta mampu membayar sewa bulanan hotel dan kondominium mewah iaitu antara RM9,000 hingga RM13,000 sebulan sehingga mampu menyediakan keperluan logistik termasuk sewa premis untuk menempatkan operasi mereka di sini.

“Buat masa ini tiada laporan yang mengaitkan sindiket ini dengan warga tempatan di sini namun segala urusan berkaitan sindiket ini di bawah kawalan seorang lelaki Cina tempatan sedang dikesan polis,” ujar beliau.

Sementara itum Zainuddin berkata, daripada 12 suspek yang ditahan, sembilan orang tidak memiliki dokumen perjalanan sah iaitu telah tamat tempoh manakala tiga lagi memiliki dokumen lengkap yang sah.

“Hasil pemeriksaan di premis kesemua suspek, polis berjaya merampas barang gajet seperti tujuh komputer riba, 125 biji telefon bimbit, sebuah ipad, emoat bag, dua utas jam tangan, dua bentuk cincin, seutas gelang, seutas rantai leher, wang tunai RM27,222, dolar Hong Kong 1,000, Yuan 535 dan Macau Pataca 1,000.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 dan maksimum enam sebatan jika didapati bersalah, ujarnya.

Kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 memperuntukkan penjara maksimum limatahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya serta disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette