Kapal Dayang Topaz yang dilaporkan mulai karam di posisi 7.7 batu nautika dari Baram, Miri - Pix APMM

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang mencari empat kru kapal Dayang Topaz yang dilaporkan hilang di posisi 7.7 batu nautika dari Baram, Miri selepas kapal mereka mulai karam.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, seramai 121 kru yang turut berada di kapal terbabit berjaya diselamatkan manakala, seorang lagi meninggal dunia.

Beliau berkata, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC Putrajaya) telah menerima isyarat kecemasan daripada kapal terbabit pukul 6.45 pagi tadi yang menyatakan kapal mereka mulai karam.

“Kapal Sapura Construction telah bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz yang dilaporkan kapal terbabit mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi telah terjun ke laut.

“Aset-aset bantuan telah segera bergerak ke lokasi yang merangkumi tiga kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia di Miri bersama tujuh kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zubil lagi, seramai 121 kru berjaya diselamatkan pukul 8.45 pagi dengan bantaun aset-aset kapal yang dikerahkan ke lokasi kejadian.

Jelasnya, punca kejadian masih lagi dalam siasatan manakala operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan. – MalaysiaGazette