Lonjakan kes koronavirus di Belgium menyebabkan hospital-hospital kekurangan katil dan doktor, foto Reuters

BRUSSELS – Para doktor di bandar Liege diminta untuk terus bekerja walaupun mereka  dijangkiti koronavirus ekoran lonjakan kes virus itu dan kemasukan ke hospital.

Kira-kira satu per empat kakitangan perubatan di sini dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Kini 10 hospital telah meminta agar kakitangan yang telah diuji positif tetapi tidak mempunyai gejala terus bekerja.

Ketua Persatuan Kesatuan Perubatan Belgium memberitahu,  mereka tidak mempunyai pilihan bagi mengelakkan sistem hospital lumpuh dalam beberapa hari ini.

Dr Philippe Devos berkata, beliau sedar tindakan itu boleh memberi risiko pemindahan virus berkenaan kepada pesakit-pesakit lain.

Menurut beliau, satu daripada tiga orang yang diuji, kembali positif dengan virus tersebut.

Hospital-hospital terpaksa memindahkan pesakit ke tempat lain dan membatalkan pembedahan yang tidak mendesak, beberapa hari setelah Menteri Kesihatan, Frank Vandenbroucke memberi amaran bahawa negara itu hampir dengan “tsunami” jangkitan, yang mana pihak berkuasa “tidak lagi dapat mengawal apa yang sedang berlaku”.

Keputusan itu diambil ketika kerajaan di seluruh Eropah berusaha menangani gelombang baharu jangkitan koronavirus.

Pada sidang media pada hari Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan sekatan perjalanan, perintah duduk di rumah atau sekatan pergerakan dalam negara mungkin diperlukan di seluruh benua untuk mengatasi wabak tersebut. – MalaysiaGazette