Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menjunjung kasih di atas keyakinan dan pengiktirafan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap dasar dan tindakan kerajaan dalam melindungi kebajikan dan keselamatan rakyat serta usaha memulihkan ekonomi negara.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus berganding bahu dengan pakar kesihatan dan ekonomi untuk merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani wabak ini secara holistik.

“Perikatan Nasional bertekad untuk terus bekerja kuat bersama-sama rakyat dan barisan hadapan negara bagi memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Azmin turut menzahirkan penghargaannya kepada sekutu-sekutu dalam PN yang memberi sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan.

Beliau turut menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik tanpa mengira parti untuk bersatu demi rakyat dalam memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi. – MalaysiaGazette