Gambar hiasan

FRANKFURT – Lufthansa siap sedia untuk menghentikan lebih banyak operasi pesawatnya berbanding rancangan asal pada musim sejuk.

Malah, ia dijangka mengurangkan jumlah waktu bekerja semasa musim sejuk memandangkan wabak koronavirus mengekang orang ramai mengembara.

Lufthansa dan anak-anak syarikatnya, Eurowings, Swiss, Austrian dan Brussels Airlines akan menggantung operasi 125 pesawat semasa musim sejuk, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carsten Spohr dalam surat kepada kakitangannya.

”Syarikat ini tidak dapat mengelak untuk mengurangkan operasi selama musim dingin 2020/21 dari pertengahan Disember,” katanya.

Sebilangan besar kakitangan pentadbiran kumpulan akan dikenakan skim pengurangan waktu yang ditaja oleh kerajaan, tambahnya.

Lufthansa memaklumkan ia mungkin hanya akan menawarkan hingga 25 peratus dari kapasiti tahun lalu pada suku keempat.

Syarikat penerbangan ini melaporkan kerugian sebanyak 1.26 bilion euro pada suku ketiga. – MalaysiaGazette