KUALA LUMPUR – Proton Holdings Berhad (Proton) yang melancarkan SUV keduanya, Proton X50 hari ini, bakal menyaksikan syarikat ini bersaing dalam segmen pasaran baharu.

Proton X50 dibangunkan bersama Proton bersama rakan kerjasamanya, Zheijiang Geely Holdings Group.

Kenderaan SUV ini ditawarkan dengan empat varian pada harga permulaan dari RM79,200 hingga RM103,300 dengan menyasarkan kepada pembeli untuk menaik taraf kereta pertama mereka.

Harga yang ditawarkan termasuk pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini.

Sejak tempahannya dibuka pada 16 September lalu, X50 berjaya mencatatkan jumlah tempahan diluar jangkaan, iaitu melebihi 20,000 unit.

X50 menawarkan empat pilihan varian yang terdiri dari varian Standard, Executive, Premium dan Flagship dengan enam warna iaitu Snow White, Jet Grey, Armour Silver, Ocean Blue, Citrus Orange dan Passion Red (hanya untuk varian Premium dan Flagship.

Manakala kombinasi warna dwitona dengan bumbung hitam (untuk varian Flagship sahaja).

Proton menawarkan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan beserta pakej standard seperti pakej data internet 4G 1GB/sebulan percuma selama lima tahun serta kadar faedah serendah 2.22 peratus setahun melalui syarikat pembiayaannya, Proton Commerce Sdn. Bhd.

Untuk 30,000 pelanggan awal sebelum 31 Disember, mereka berpeluang menerima kos upah percuma untuk tiga kali servis.

Proton turut menawarkan Program Insurans Proton untuk pembelian model X50. – MalaysiaGazette