Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan tidak mempunyai hak untuk membatal atau menangguhkan PRK tersebut kerana ianya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, SPR telah diminta untuk mengemukakan cadangan SOP yang lebih ketat pada PRK Batu Sapi bagi mengelakkan kejadian Pilihan Raya Negeri Sabah berulang kembali.

“Kita faham ketakutan rakyat dan difahamkan rakyat di kawasan tersebut cemas malah petugas-petugas pilihan raya juga takut untuk bertugas semasa PRK tersebut.

“Jadi kita akan panggil SPR sama ada esok atau lusa untuk membentangkan SOP yang lebih ketat untuk PRK Batu Sapi.

“Kerajaan tidak boleh menahan pengundi untuk keluar mengundi kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan mereka mempunyai hak,” katanya semasa sidang media hari ini.

PRK bagi kerusi Parlimen Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember dengan hari penamaan calon pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

Ia terpaksa diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk VK Liew meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.- MalaysiaGazette