Pekerja-pekerja penyelamat melihat bekas letupan di sebuah madrasah di Peshawar, Pakistan yang mengorbankan tujuh orang mangsa. foto Indian Express

LAHORE – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan lebih daripada 50 cedera selepas letupan berlaku di sebuah sekolah agama di Pakistan.

Mereka yang terbunuh dalam serangan yang berlaku di bandar utara Peshawar itu berusia antara 20 dan 30 tahun.

Puluhan yang lain cedera, termasuk empat mangsa di bawah usia 13 tahun.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab tetapi siasatan telah dilancarkan.

Bandar Peshawar, dekat dengan sempadan Afghanistan, telah menyaksikan beberapa keganasan terburuk semasa pemberontakan Taliban dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Enam tahun yang lalu, individu bersenjata telah menyerbu sebuah sekolah tentera di bandar itu menyebabkan lebih daripada 150 orang mati, termasuk kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, jumlah serangan telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Letupan terbaharu ini berlaku kira-kira pukul 8.30 waktu tempatan (03:30 GMT), kata polis.

Kira-kira 60 orang difahamkan telah mengikuti kelas di sekolah agama itu, yang dikenali sebagai madrasah.

Seorang saksi memberitahu polis dia melihat seorang lelaki memasuki bangunan itu dengan beg berisi bahan letupan sejurus sebelum letupan.

Gambar dari dalam bilik menunjukkan kerosakan yang teruk.

Penolong Ketua Polis Negara (AIG) Shafqat Malik memberitahu akhbar Pakistan Express Tribune sebanyak 5kg (11 paun) bahan letupan digunakan dalam serangan itu.

Pegawai hospital memberitahu agensi berita Reuters telah menerima puluhan mangsa yang cedera, banyak yang mengalami luka terbakar.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengutuk serangan itu. – MalaysiaGazette