Foto hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 masih belum menurun dan hari ini sejumlah 801 kes baharu dikesan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Sabah masih lagi mencatatkan kes tertinggi dengan 546 kes positif Covid-19.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 29,441 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,123 kes. Kesemua pesakit ini telah diasingkan dan diberi rawatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 801 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini, dua kes import direkodkan mendapat jangkitan dari luar negara yang mana ia melibatkan satu warganegara dan satu bukan warganegara yang tiba dari negara Iran dan Arab Saudi.

Selain itu, lapan kes kematian direkodkan pada hari ini.

Tujuh daripada kes kematian itu adalah dari Sabah melibatkan empat lelaki dan tiga wanita.

Satu kes kematian lagi direkodkan di Selangor melibatkan seorang wanita berusia 61 tahun yang mempunyai penyakit kencingĀ  manis dan darah tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan kes pulih Covid-19 adalah sebanyak 573 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 19,072 kes,” jelas beliau.

Dalam pada itu, empat lagi kluster baharu dikesan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah, Kuching dan Miri di Sarawak, Johor Bahru dan Muar di Johor dan Gombak di Selangor.

Kluster Idaman berlaku di daerah Petaling dan Gombak di negeri Selangor dan juga daerah Titiwangsa dan Cheras.

Ia melibatkan 12 kes dengan dua daripadanya direkodkan hari ini.

Kluster Seri Gaya pula direkodkan di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran yang melibatkan 18 kes dengan 11 kes baharu.

“Kluster Greenhill dilaporkan di daerah Kuching dan Miri di negeri Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-27786) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober 2020.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 24 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

“Sehingga 28 Oktober 2020, sejumlah 51 individu telah disaring, di mana 25 kes dikesan positif Covid-19 dan 21 kes baharu hari ini,” jelas Dr Noor Hisham.

Kluster terakhir adalah Kluster Bayu yang berlaku di daerah Johor Bahru dan Muar.

Kluster ini melibatkan kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25677) yang telah menjangkiti tujuh lagi individu. – MalaysiaGazette