Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Kuching, Sarawak akan ditutup bermula 30 Oktober hingga 13 November ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Ia melibatkan 209 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Menurut KPM, sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga akan ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

Bagaimanapun katanya, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh
penutupan dibenrakan dan mereka akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Sementara itu, KPM turut mengumumkan pelanjutan penutupan  institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian itu sehingga 13 November 2020.

Berikutan penutupan institusi pendidikan di Kuching dan Labuan,  pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Tambahnya, anmual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my. – MalaysiaGazette