Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Polis telah mewujudkan pasukan khas yang bertindak terhadap insiden pencemaran air sungai di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pasukan itu akan bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

“Memang kita berbincang dengan pihak berkenaan untuk menangani isu pencemaran air sungai di negeri ini.

“Kita sudah ada pasukan khas dalam soal ini untuk bertindak segera sekiranya terdapat mana-mana kes terkesan pencemaran air sungai.

“Mereka akan keluar dengan pasukan-pasukan ini untuk mengenalpasti apa punca (pencemaran) dan di mana pencemaran air itu berlaku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pagi ini.

Terdahulu beliau hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) antara Asisten Komisioner Ismadi Borhan dan ACP Razali Abu Samah.

Menurut Noor Azam, pihaknya memandang serius insiden pencemaran sungai yang kerap berlaku akhir-akhir ini dan akan bertindak tegas mengenainya.

“Misalnya di Kampung Baru Balakong, Kajang, kita sudah buka kertas siasatan. Kita juga sudah tahan 11 individu berhubung pencemaran di Sungai Kundang dan Sungai Gong,” ujar beliau. -MalaysiaGazette