Ronnie Liu

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Thian Khiew ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung hantaran statusnya berkaitan Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kecenderungan menghasut dalam media sosial.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid sebagai mengesahkan penahanan itu berkata Dia di tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Katanya pemimpin DAP itu ditahan sekitar jam 10.40 pagi tadi oleh pasukan polis Bukit Aman di IPD PJ untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya sahkan dia (Ronnie Liu) ditahan semasa hadir memberi keterangan di IPD PJ pagi ini.

“Kita akan merakam keterangan daripada dia (Ronnie Liu) dan selepas selesai proses mengambil keterangan dia akan dibebaskan.

“Apapun bergantung kepada keterangan daripada Ronnie Liu,” katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pagi tadi Ronnie Liu tiba ke IPD Petaling Jaya bersama peguamnya Jadavish Chandra untuk memberi keterangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan semalam menyatakan bahawa Ronnie Liu antara empat individu yang dikehendaki dan dibuka kertas siasatan dalam isu menghasut baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam media sosial.

Artikel berkaitan: PCM kecam Ronnie Liu hina Raja-Raja Melayu

Beliau juga meminta kesemua pihak berkaitan tampil untuk memberi kerjasama membantu siasatan polis dalam kes tersebut yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKMM 1998.

Katanya Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman sedang mengendalikan siasatan kes tersebut ke ats satu status yang dimuat naik Ronnie dalam ruang Facebooknya yang berbunyi:” Now in Bangkok, Thy Are Saying No To the King pada 21 Oktober lalu.

Akaun kedua yang disiasat Bukit Aman adalah melibatkan ciapan twitter Uncle Ireeve pada 25 Oktober lalu yang didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap YDPA,” tegasnya. – MalaysiaGazette