Gambar hiasan

BANGKOK- Parlimen Thailand sedang memberi pertimbangan terhadap cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa rekonsiliasi yang terdiri daripada wakil semua pemegang taruh bagi menyelesaikan konflik politik di negara itu yang berlarutan sehingga sekarang.

Speaker Dewan, Chuan Leekpai berkata, beliau telah mengarahkan panel kerja untuk mengkaji cadangan Parti Demokrat itu.

Jelasnya, beliau akan meminta wakil-wakil parti politik, kerajaan dan senator sama ada mereka mahu menunggu pindaan piagam rang undang-undang yang diusulkan oleh kumpulan sivil iLaw atau tidak.

Jika mereka memutuskan untuk tidak mahu menunggu, Chuan berkata, Parlimen akan berdebat tentang enam versi pindaan piagam rang undang-undang yang diusulkan oleh parti-parti lain apabila Parlimen memulakan sidangnya pada 1 November.

Bagaimanapun jika ahli Parlimen bersetuju untuk menunggu versi iLaw, mereka perlu menunggu sehingga nama-nama penandatangan usul yang dibentangkan iLaw itu disahkan.

Perkara itu dijangka selesai menjelang 12 November.

Menurut Chuan, beliau dan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha masih belum membincangkan referendum nasional untuk memutuskan sama ada Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan atau tidak.

Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam berkata, kerajaan sepatutnya berbincang dengan semua pihak terlibat untuk mencari penyelesaian kepada konflik politik termasuklah dengan menubuhkan jawatankuasa rekonsiliasi.- Agensi