Bekalan bawang di negara ini stabil.

KUALA LUMPUR – Bekalan bawang dalam negara mencukupi walaupun India larang eksport semua jenis bawang kecuali Banglore Rose dan Krishnapuram.

India membuat larangan itu untuk menampung keperluan domestik ekoran banjir besar yang berlaku pada bulan Julai lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, susulan daripada larangan tersebut, sebanyak 121 syarikat pengimport telah meningkatkan jumlah pengimportan bekalan dari Pakistan, Thailand, Belanda dan China.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan statistik semasa, rakyat Malaysia secara purata menggunakan 17 kilogram (kg) bawang setahun, bersamaan 1.4 kg.

Ini menjadikan purata keperluan rakyat Malaysia ialah sebanyak 35, 971, 671 kg sebulan.

“Sepanjang tahun 2020, kementerian ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu bekalan bawang.

“Walau bagaimanapun, pemantauan secara berkata dijalankan bagi memastikan tahap keberadaan bawang di pasaran adalah mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jumlah pengimportan keseluruhan bawang ke Malaysia dari Januari 2020 hingga Ogos 2020 sebanyak 340, 202,285kg bersamaan 42, 525,285 kg sebulan secara purata.

Terdapat 24 buah negara yang mengeskport bawang ke Malaysia dengan India, Pakistan, China, Belanda dan Thailand menjadi pengeksport terbesar. – MalaysiaGazette