Ian Ho

KUALA LUMPUR – Platform e-dagang didapati mencipta mata pencarian dan peluang baharu terutamanya dalam situasi ekonomi yang cukup mencabar ini, menurut hasil tinjauan Shopee.

Menurutnya, 70% daripada jumlah responden menyatakan mereka mempunyai hingga enam orang tanggungan.

Oleh itu, walaupun dengan pekerjaan tetap, 35.4% daripada keseluruhan responden mendedahkan mereka telah menggunakan e-dagang untuk memperoleh sumber pendapatan kedua dan juga ketiga bagi isi rumah masing-masing.

Para penjual ini didapati menjana jualan secara purata sebanyak RM2,750 sebulan di Shopee sahaja.

Tinjauan tersebut juga menunjukkan bahawa e-dagang membuka peluang bagi para usahawan, tanpa mengira jantina, lokasi dan usia.

Daripada 11,850 penjual yang terlibat, 5,406 merupakan usahawan baharu yang diperkasakan oleh e-dagang, memaklumkan perniagaan mereka dikendalikan 100% secara atas talian.

Menariknya, daripada usahawan baharu yang dilahirkan oleh e-dagang ini. 72% adalah usahawan wanita dam kebanyakannya menawarkan produk kesihatan dan kecantikan, pakaian wanita serta aksesori fesyen dan mampu menghasilkan secara purata sebanyak RM3,950* sebulan.

Sementara itu, 70.7% berumur antara 18 dan 35 tahun, yang mana satu daripada tiga adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Namun begitu, individu-individu ini giat dalam bidang perniagaan dan mampu menjana purata jualan sebanyak RM6,000 sebulan di Shopee dengan menjual pelbagai jenis barangan seperti koleksi fesyen kanak-kanak dan Muslim, barangan runcit serta barangan bayi dan produk kanak-kanak, antara lain.

Walaupun bilangan usahawan luar bandar hanya berjumlah 13.3%, ia wajar diketengahkan dengan penembusan adalah sejauh Pontian, Johor; Kuala Nerus, Terengganu dan Kabong, Sarawak, dan didorong terutamanya oleh golongan wanita muda.

Hasilnya, Shopee mendapati bahawa e-dagang juga memudahkan pembekalan produk istimewa tempatan ke
seluruh negara seperti keropok lekor, kek lapis, ikan bilis Pangkor, belacan, cencaluk dan
banyak lagi, memberi pengguna lebih banyak variasi di atas talian.

Para penjual luar bandar ini mampu menjana purata jualan bulanan sebanyak RM3,200.

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, hasil tinjauan menunjukkan e-dagang menawarkan peluang yang sama rata kepada semua untuk berniaga di atas talian.

Selain membantu dalam menambah baik kehidupan orang ramai, ini juga menunjukkan bahawa e-dagang dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk tenaga kerja moden.

Pada masa ini e-dagang masih berada dalam peringkat awal pertumbuhan, ia secara beransur-ansur mewujudkan kesan rantaian sosio-ekonomi, yang mana lebih daripada 1,700 daripada 11,850 penjual yang terlibat dalam tinjauan berkongsi bahawa mereka menggunakan khidmat pekerja tetap dan pekerja sambilan demi memenuhi permintaan yang meningkat secara keseluruhan daripada e-dagang.

Dapatan tinjauan ini menunjukkan, 66.7% daripada keseluruhan responden mengatakan bahawa mereka akan meningkatkan jumlah inventori sebanyak dua kali ganda sebagai persediaan untuk festival membeli-belah 11.11.

Pada masa yang sama, 70.2% daripada penjual menjangkakan peningkatan jualan sekurang-kurangnya 100% di kedai Shopee mereka pada 11.11 Jualan Hebat ini berbanding tahun 2019. – MalaysiaGazette