Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihati umat Islam di Malaysia agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas dalam menangani tindakan provokatif karikatur Nabi Muhammad SAW sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan agama dan undang-undang.

Ini kerana, sebarang tindakan itu dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, kehadiran Nabi Muhammad di atas muka bumi ini antara lain untuk membawa kedamaian di tengah-tengah masyarakat yang hidup saling menumpahkan darah di antara satu sama lain.

Katanya, Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka, bahkan Islam mengajar umatnya supaya berhikmah dalam berdakwah.

“Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

“Sesungguhnya Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman samada sesama Islam atau dengan bukan Islam.

“Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia,” tambah beliau yang kesal dengan tindakan provokatif yang dicetuskan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo apabila menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ketika umat Islam di seluruh dunia sedang meraikan bulan Rabiulawal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jakim, tambahnya, menyeru agar seluruh umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam juga agar terus berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara bagi menjamin persefahaman, hormat menghormati dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, Jakim menyokong penuh inisiatif Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah menulis surat khusus berhubung isu ini kepada Duta Perancis di Malaysia sebagai teguran penuh hikmah terhadap tindakan tidak wajar pihak berkenaan.

“Semoga sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini lebih membawa kedamaian kepada negara Malaysia khususnya dan dunia amnya selaras dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni,” ujarnya. – Ma;aysiaGazette