Foto hiasan

KUALA LUMPUR- Meskipun mencatatkan sedikit penurunan kes baharu positif Covid-19 hari ini, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti kluster lima kluster baharu yang mana dua daripadanya berlaku di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sakti melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah yang mana indeks bagi kluster tersebut telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 5 Oktober lalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif.

Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 154 individu telah disaring di mana 18 adalah positif, 101 negatif dan 35 masih lagi menunggu keputusan.

Kluster kedua berlaku di Kota Belud, Sabah yang mana indeks bagi Kluster Tuguson itu dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 29 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 146 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu) dan 128 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Medan pula berlaku di Sepang, Selangor melibatkan kes indeks yang dikesan positif hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober lalu.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sehingga 29 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 52 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu) dan 32 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Taman Laut pula melibatkan daerah Petaling, Selangor. Kes indeks bagi kluster tersebut (iaitu kes ke-25431) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sehingga 29 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 123 individu telah disaring, di mana enam kes dikesan positif COVID-19 (dua kes baharu); 18 individu dikesan negatif; dan 99 individu masih menunggu keputusan.

Kluster kelima adalah Kluster Taman Bunga melibatkan Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu Negeri Sembilan.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-27711) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar.

Sehingga 29 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 55 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif COVID-19 (16 kes baharu), 25 individu dikesan negatif dan tujuh (7) individu masih menunggu keputusan.- MalaysiaGazette