TAIPEI – Ketika banyak negara di dunia sedang merekodkan kes tertinggi koronavirus, Taiwan telah mencatatkan rekod yang berbeza iaitu 200 hari tanpa kes jangkitan tempatan.

Negara tersebut memegang rekod negara terbaik di dunia setakat ini dalam membendung penularan Covid-19 dan sejak kes tempatan pertama dikesan pada 12 April lalu, tiada gelombang kedua berlaku.

Apa yang dilakukan oleh negara pulau dengan populasi 23 juta orang ini?

Dengan mencatatkan hanya 550 kes positif dan tujuh kematian, pakar-pakar berpendapat, tindakan negara itu menutup sempadan dengan awal dan mengetatkan peraturan perjalanan merupakan faktor utama kejayaannya membendung penularan Covid-19.

Antara faktor lain pula adalah penjejakan kontak yang teliti, teknologi mengawal perintah kuarantin dan pemakaian pelitup muka secara meluas.

Tambahan pula, Taiwan pernah berdepan dengan virus berbahaya seperti SARS, sekali gus membuatkan rakyatnya takut dan patuh.

“Taiwan merupakan satu-satunya negara besar yang berjaya membendung penularan tempatan Covid-19.

“Mungkin ia mencatatkan keputusan terbaik di dunia,” kata pakar dan profesor penyakit berjangkit di Australian National University Medical School, Peter Collignon.

Tambahnya, apa yang lebih membanggakan ialah Taiwan sebuah negara yang mempunyai populasi hampir sama dengan Australia tetapi rakyatnya tinggal di pangsapuri-pangsapuri berdekatan di antara satu sama lain.

Apa yang negara lain boleh belajar dari Taiwan adalah penularan wabak Covid-19 tidak dapat dibendung tanpa penjejakan kontak dan perintah kuarantin, kata bekas Naib Presiden Taiwan yang juga seorang pakar dalam kajian wabak, Chen Chien-jen.

Namun begitu, tidak mudah untuk menyuruh orang ramai mematuhi perintah kuarantin.

Taiwan terpaksa menyediakan penghantaran makanan dan barang runcit serta menyediakan komunikasi melalui Line Bot iaitu robot yang boleh menghantar pesanan teks dan berbual.

Malah, negara tersebut turut mengenakan denda sebanyak NT$1 juta (AS$35,000) kepada sesiapa yang melanggar perintah kuarantin. – MalaysiaGazette