Stuart Ramalingam.

KELANA JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendirian tidak akan mencampuri dalam urusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang kini sedang menyiasat pertikaian antara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan pemainnya Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam berpendapat, adalah tidak wajar pihaknya mencampuri urusan pihak berkenaan, sebaliknya mengambil langkah berhati-hati dalam soal tersebut.

Katanya, pihakntya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu memandangkan pertikaian itu sedang disiasat mendalam oleh badan induk bola sepak dunia.

“Lagipun perkara ini adalah antara PBNP dan Sumareh, tidak sopan jika FAM mencampuri urusan dalaman itu.

“”FIFA sudah memulakan siasatan perundangan membabitkan pembuangan Sumareh oleh PBNP.

“Maka FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia (FIFA) terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut dalam soal ini.

“Justeru, untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan FAM tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara sehingga FIFA membuat keputusan di peringkat Majis Pertikaian (DRC) FIFA,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu beliau telah mengesahkan pihak FAM telah menerima surat keputusan daripada PBNP yang telah membuang pemain itu.

Katanya, surat keputusan PB Pahang mendapati bekas pemain Pahang FA itu bersalah terhadap empat kesalahan.

“Hasil penemuan itu PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun lagi bagi setiap kesalahan tersebut, sekali gus menyaksikan pemain itu dilarang melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette