Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

SERDANG – Enam anggota polis yang disyaki memeras ugut orang awam ditahan pasukan Jabatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam sebuan yang dilakukan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kesemua suspek yang disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kini dipindahkan ke bahagian pentadbiran ketika siasatan ke atas mereka dilakukan.

Kata beliau, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya kelak dan suspek berhadapan dengan penggantungan kerja jika dituduh di mahkamah.

“Untuk makluman, tahan kerja oleh Bahagian Integriti Pematuhan Standard (BIPS), IPD Serdang akan disyorkan kepada peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Selangor sehingga memperolehi keputusan mahkamah sama ada kesemua anggota itu disabitkan kesalahan atau sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Razali, salah seorang anggota polis yang ditahan itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dikesan positif dadah menerusi ujian air kencing.

“Memang itu agak mengejutkan salah laku anggota polis di bawah IPD saya, namun saya tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan meneruskan tindakan dalaman untuk mendisiplinkan warga IPD Serdang supaya berintegriti dan bersih dari segala tingkah laku tidak bermoral bagi mendapat kepercayaan masyarakat pada tahap tinggi.

“Itulah azam saya ketika menerima tugas pertama kali sebagai Ketua Polis Daerah Serdang kelmarin bahawa saya mahu fokus dan membuat pembaharuan dalam penghuni rumah saya dulu sebelum meneruskan misi dan visi yang ditetapkan PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette