KUALA LUMPUR – BigPay memberi amaran kepada semua ahli BigPay dan orang awam berhubung penipuan yang menawarkan hadiah berupa wang tunai yang hanya boleh dituntut setelah menerima maklumat peribadi seperti PIN Kata Kunci Sekali Sahaja (OTP) daripada penerima panggilan.

Penipuan ini melibatkan penyamaran sebagai kakitangan syarikat, mewakilili syarikat atau syarikat berkaitan BigPay.

Oleh itu, Bigpay menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya dari aplikasi sembang seperti WhatsApp.

”BigPay ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

”BigPay tidak mempunyai akaun perniagaan WhatsApp rasmi dan tidak berkomunikasi dengan penggunanya melalui mana-mana aplikasi sembang. Semua pengumuman rasmi BigPay akan diumumkan di laman rasmi BigPay dan media massa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu, BigPay juga telah mengukuhkan aspek keselamatannya dengan melaporkan nombor-nombor WhatsApp yang dipakai oleh penipu ini kepada pihak berkuasa.

BigPay juga bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman untuk membanteras penipuan ini.

BigPay juga telah melatih sistem pembelajaran mesinnya untuk mengesan atau memberi amaran terhadap tingkah laku penipuan, menyekat akaun BigPay oleh penipu secara sistematik, serta memperkukuhkan syarat penetapan kata laluan dengan menambah ciri pengesahan dua langkah dan terus menambah baik ciri-ciri sedia ada untuk melindungi pengguna BigPay.

Tambahnya, BigPay tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

Selain itu, orang ramai diingatkan bahawa BigPay tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan ini yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat. – MalaysiaGazette