Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020, memberi jaminan bahawa segala persiapan penganjuran Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020 sedang giat dilakukan.

Presiden Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020 Youshiro Mori turut berkongsi ikrar Perdana Menteri baharu Jepun Yoshihide Suga, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas, bahawa Jepun komited menjayakan penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu seperti dijanjikan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tuan rumah Tokyo 2020 menyatakan, jaminan itu ketika sesi Webinar Ketua Kontinjen (CDM) Paralimpik Tokyo 2020 pada Khamis, melibatkan 165 wakil negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia, yang diwakili Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kenyataan itu memaklumkan antara intipati penting lain dikongsi ketika sesi secara maya selama tiga jam itu adalah, Jepun telah merombak dan menyusun semula jadual kejohanan utama di negara tersebut supaya tidak bertindih dengan temasya sukan berkenaan, dengan Sukan Paralimpik Tokyo dijadual bermula 25 Ogos hingga 5 Sept, 2021.

Sebanyak 22 sukan dipertandingkan dengan menawarkan 539 pingat emas melibatkan 21 venue pertandingan yang kebanyakannya berlangsung di Tokyo, dengan persiapan semua venue berjalan lancar untuk menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu.

Menurut kenyataan itu, segala aspek perancangan akan dikemas kini dari semasa ke semasa, untuk memastikan Jepun bersedia menyambut kehadiran kontinjen dari 165 negara, selain untuk membolehkan temasya itu dilangsungkan dengan teratur dan terbaik.

Tuan rumah Jepun juga mengesahkan mereka menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu berkaitan COVID-19, dengan terdapat garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi kontinjen dari setiap negara, sebelum bertolak ke Jepun.

Beberapa langkah berjaga-jaga juga akan diperkenalkan Jepun, untuk melindungi dan menjaga tahap kesihatan atlet sepanjang temasya sukan itu.

Setakat ini, seramai sembilan atlet Malaysia layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, melibatkan empat daripada sukan olahraga, memanah (2), Boccia (1) dan renang (2).

“Kami menjangkakan beberapa atlet lagi akan melayakkan diri, antaranya daripada sukan para badminton, powerlifting dan berbasikal para. MPM ingin menyeru semua atlet para supaya meningkatkan intensiti latihan, setelah Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengesahkan tempoh kelayakan ke temasya Tokyo 2020 dibuka semula dari Januari hingga Mei 2021.

“Kami menaruh harapan tinggi untuk menghantar 30 atlet dan pegawai ke temasya itu. Untuk edisi Rio 2016, Malaysia menghantar 21 atlet. MPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, untuk memastikan atlet para negara melakukan persiapan sebaik mungkin untuk ke temasya itu,” kata Megat D Shahriman.- BERNAMA