KUALA LUMPUR – Semua kes rumah tangga yang difailkan di mahkamah syariah di Selangor dijadualkan semula bermula Rabu lalu hingga 9 November ini.

Unit komunikasi korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) memaklumkan, penjadualan semula itu adalah berikutan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memastikan pengamalan penjarakan fizikal di semua premis mahkamah syariah.

“Mahkamah akan menghubungi pihak terlibat dengan kes dikenal pasti untuk diteruskan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB berkuat kuasa.

“(Proses) wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan serta persetujuan bersama plaintif dan defendan.

“Perkhidmatan runding cara dilaksanakan secara dalam talian telefon,” kata jabatan itu menerusi kenyataan.

Agensi itu turut memberitahu, perkhidmatan pendaftaran kes baharu tanpa janji temu di kaunter mahkamah terhad kepada pendaftaran kes mendesak.

Jelasnya, kes mendesak membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan, pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, permohonan wali raja atau merekodkan persetujuan selain kes mempunyai tempoh had masa seperti pemfailan notis rayuan dan semakan.

Orang ramai boleh merujuk garis panduan operasi Jakess melalui laman sesawang www.jakess.gov.my. – MalaysiaGazette