S.Barathidasan

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Kenyataan Presiden Perancis itu melampau sehingga membawa impak yang negatif terhadap agama Islam dan mencetuskan Islamophobia.

Malah, ia adalah satu penghinaan kepada semua yang menghormati kebebasan beragama, kata S.Barathidasan, Setiausaha DHPP Pusat.

Oleh itu, DHPP menyeru agar semua rakyat yang berfikiran waras tanpa mengira agama, bangsa, dan kewarganegaraan harus menolak dan mencela ucapan serta kenyataan sedemikian.

Barathidasan berkata, DHPP menyokong dan menyambut baik seruan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memboikot barangan buatan Perancis bagi menunjukkan solidariti terhadap Islam.

DHPP turut meminta seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agama bermuafakat dalam hal ini.

”DHPP percaya dan yakin bahawa Islam tidak pernah mengajarkan kekerasan, Islam menganjurkan agar setiap manusia sentiasa hormat-menghormati satu sama lain, bersikap tolak ansur serta menghormati agama kaum-kaum lain.

”Ini kerana DHPP yakin bahawa “Islam Memimpin Perpaduan”,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast