Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah bercakap kepada media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OKTOBER 2020

SERDANG – Salah seorang daripada enam anggota polis yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap orang awam semalam turut dikesan positif dadah.

Keenam-enam anggota polis itu ditahan oleh pasukan Jabatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pemerasan.

Anggota yang positif dadah juga disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, memberitahu MalaysiaGazette kesemua mereka ditahan JIPS dalam satu serbuan pada Rabu dan bakal berdepan tindakan tahan kerja jika dituduh di mahkamah.

Katanya, mereka kini ditempatkan tugas di Bahagian Pentadbiran sementara siasatan lanjut ke atas mereka diteruskan.

“Polis telah menjalankan siasatan ke atas semua anggota itu dan kertas siasatan apabila selesai akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Tindakan susulan akan diambil berdasarkan keputusan Timbalan Pendakwa Raya selain mereka akan dituduh di mahkamah jika hasil siasatan membuktikan kesalahan mereka,” katanya.

Menurut Razali, beliau agak terkejut dengan penahanan tersebut dan tidak akan berkompromi dalam perkara itu sebalikya akan meneruskan tindakan dalaman untuk mendisiplinkan warga IPD Serdang.

“Langkah ini supaya warga IPD Serdang berintegriti dan bersih dari segala tingkah laku tidak bermoral bagi mendapat kepercayaan masyarakat pada tahap tinggi.

“Itulah azam saya ketika menerima tugas pertama kali sebagai Ketua Polis Daerah Serdang kelmarin bahawa saya mahu fokus dan membuat pembaharuan dalam penghuni rumah saya dulu sebelum meneruskan misi dan visi yang ditetapkan PDRM,” tegasnya.-MalaysiaGazette