Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Sejak dilancarkan pada 2004 hingga 30 Sept lepas, sebanyak 4.7 juta akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.87 bilion.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata pada tahun ini sebanyak 329,465 akaun baharu telah dibuka sehingga Sept lepas berbanding sasaran (dalam tempoh tersebut) sebanyak 268,000 akaun.

“Deposit yang diterima dalam tempoh sama adalah sebanyak RM983.21 juta iaitu 147.35 peratus melebihi sasaran iaitu sebanyak RM397.5 juta.

“Untuk tahun ini, PTPTN sasarkan jumlah simpanan yang agak tinggi iaitu RM1.5 bilion dengan 400,000 akaun baharu… sasaran ini ditetapkan berasaskan pencapaian positif pada 2019 dengan pelbagai langkah proaktif yang terus dilaksanakan,” katanya dalam Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disiarkan secara langsung menerusi FB Rasmi PTPTNOfficial di sini, hari ini.

Beliau berkata PTPTN juga menyasarkan sejumlah RM110 juta deposit sepanjang Bulan Menabung SSPN 2020 dan sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 yang berlangsung pada bulan ini (Oktober) dan sehingga 28 Okt lepas jumlah deposit yang telah diterima adalah sebanyak RM147.67 juta atau 134.24 peratus sekali gus mencatat rekod melebihi sasaran bagi tempoh tersebut.

Wan Saiful berkata peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun SSPN yang dibuka dari tahun ke tahun jelas menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang mula sedar untuk membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak.

“PTPTN sebagai tabung pendidikan akan terus melipatgandakan usaha untuk mengubah paradigma masyarakat daripada budaya berhutang kepada budaya menyimpan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata PTPTN ketika ini dalam usaha untuk mengubah persepsi masyarakat untuk melihat PTPTN sebagai agensi penabungan dan bukan lagi agensi pembiayaan pinjaman.

“Saya juga menyeru mana-mana agensi atau badan bukan kerajaan yang berhasrat untuk memberi hadiah kepada pekerja atau pelajar agar diberikan dalam bentuk simpanan SSPN kerana banyak kelebihan termasuk perlindungan takaful,” katanya.- BERNAMA