Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru kerajaan menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Cara itu jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau boleh digunakan demi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021 yang dijangka dibentang pada 6 November ini.

Tambah beliau, apa yang mustahak ialah memastikan peruntukan untuk tahun depan demi kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru menurutnya lagi, usaha konsolidasi fiskal harus ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, dengan harapan ekonomi negara akan dipulihkan sepenuhnya pada waktu itu.

“Waktu itu, jika ekonomi pulih, perbelanjaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula,” tambah beliau.

Bagaimanapun, menurut Mohamad atau mesra disapa sebagai Tok Mat, strategi menggandakan perbelanjaan dan rangsangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah blank cheque untuk kerajaan berbelanja secara boros.

Sebaliknya jelas beliau, perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan untuk mencegah segala bentuk ketirisan.

“Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan. Peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, demi satu matlamat yang mulia dan penting, iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan dan memulihkan kehidupan,” kata bekas ahli korporat sebelum terjun dalam politik itu.- MalaysiaGazette