Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak walaupun selalu memberi imej dan identiti pertama sebagai “anak kepada PM” dan “adik kepada PM” , tetapi beliau sebenarnya lebih selesa untuk memberi identiti kedua kepada orang ramai.

Nazir berkata, beliau perlu berusaha melaui pertuturan dan tindakan untuk memberi imej kedua kepada orang lain supaya mereka tidak melihatnya sebagai “anak kepada Tun Razak” dan “adik kepada Najib” semata-mata.

Ketika menerima wawancara Sinchew Daily, Nazir berkata, beliau bagaimanapun tidak melihat “identiti pertama” sebagai anak dan adik kepada Perdana Menteri sebagai satu kekangan atau beban.

Tetapi beliau pada masa yang sama tidak membenarkan “identiti pertama” itu menjadi definisi kehidupannya.

Menurut Nazir, walaupun “identiti pertama” sesuatu yang tidak boleh diubah, tetapi beliau boleh berusaha untuk membentuk “identiti kedua” dengan orang lain.

“Bagi saya imej kedua ini merupakan kehidupan saya,” katanya.

Nazir yang merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB selama 15 tahun  dan menjadi pengerusi kumpulan itu dari 2014 hingga 2018.

Di bawah kepimpinan Nazir, CIMB telah menjadi antara bank terunggul di Malaysia.

Beliau juga aktif melontarkan pandangan mengenai isu politik dan ekonomi termasuk menegur pemimpin politik kerana mengabaikan masalah ekonomi sehingga prestasi Malaysia ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

Walaupun Nazir juga pernah terjerumus ke dalam isu politik kerana hubungan dengan abangnya, tetapi beliau tidak melihat Najib sebagai satu beban.

Menurutnya, perhubungan persaudaraan dengan Najib adalah akrab seperti biasa.

Sementara melihat latar belakang keluarga dan asal usulnya secara positif, Nazir berkata, beliau pada masa yang sama juga berusaha mencorak kehidupan sendiri yang unik. – MalaysiaGazette