Petugas Sel Care melakukan proses ujian saringan Covid-19 sebahagian orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar secara percuma di semua cawangan di Selcare Clinic bermula hari ini. 
Ujian tersebut diberikan kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) ditutup bermula semalam semalam sehingga 12 November 2020 berikutan jangkitan Covid-19 di kalangan beberapa orang pegawai dan anggotanya.

Penutupan ini turut melibatkan Sektor Pembelajaran dan Unit Hal Ehwal Murid di SK Rahang, Unit Pembangunan Bakat Murid dan Sektor Pendidikan Islam di Kompleks Ko-Kurikulum serta Pusat Ko-Kurikulum Kem Hassan Basir di Batu Kikir, Kuala Pilah.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, keselamatan warga kerja dan pelanggannya adalah sentiasa menjadi keutamaan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memaklumkan  jumlah pegawai dan anggota JPNS yang dijangkiti wabak berkenaan.

Sehubungan itu ujar KPM, segala urusan yang melibatkan orang awam adalah dihentikan sepanjang tempoh penutupan ini.

Terdahulu pada 27 Oktober yang lalu, JPNS ditutup selama tiga hari bermula bagi kerja-kerja sanitasi berikutan kes Covid-19.

Baru-baru ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai seorang pegawai unit peperiksaan yang didapati positif Covid-19 dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan kakitangan itu dipercayai positif selepas memberi ceramah di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Senawang.-MalaysiaGazette