Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan ketika program penutup ‘Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020’ mengikut norma baharu iaitu secara dalam talian melalui FB Rasmi PTPTNOfficial hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Bulan Menabung SSPN 2020 membuktikan komitmen Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membudayakan perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi usaha itu, PTPTN tetap komited walaupun negara dilanda Covid-19 pada masa ini.

Tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ dijadikan pilihan untuk Bulan Menabung SSPN tahun ini.

“Ini kerana ibu bapa menjadi model terbaik untuk anak-anak dari semua aspek termasuk menyediakan keperluan untuk
melanjutkan pengajian.

“Ibu bapa perlu meningkatkan kemahiran pengurusan
aliran tunai dan langkah utama yang perlu dilakukan ialah dengan mula membuat penabungan atau simpanan untuk anak-anak seawal usia mereka.

“Ibu bapa yang bijak dan menabung seawal usia anak adalah superhero kerana mereka merupakan individu yang akan menjadi ikutan kepada anak-anak dan menyediakan ruang kejayaan kepada anak-anak mereka,” kata Pengerusi PTPTN dalam satu kenyataan media hari ini.

PTPTN sebagai agensi Tabung Pendidikan utama di negara ini mengadakan program penutup ‘Bulan Menabung SSPN 2020 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020’ mengikut norma baharu iaitu secara dalam talian melalui FB Rasmi PTPTNOfficial yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan.

Justeru, PTPTN menyasarkan RM110 juta deposit sepanjang program Bulan Menabung SSPN 2020 berlangsung. Sasaran ini telah pun dapat dicapai pada 28 Oktober 2020.

Bagi tempoh 1 sehingga 28 Oktober, jumlah deposit SSPN yang diterima adalah sebanyak RM147.67 juta atau 134.24 peratus berbanding RM110 juta yang disasarkan.

Wan Saiful mengucapkan tahniah kepada pendeposit-pendeposit SSPN kerana berjaya menjadi Superhero untuk anak-anak sekali gus memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin.

Hasrat itu akan terus diperkasakan oleh PTPTN dengan pelbagai program-program penabungan yang lebih interaktif dan mesra
pelanggan pada masa hadapan, katanya.

“Usaha penabungan tidak hanya tertumpu pada Bulan Menabung SSPN sahaja malah ia turut disambut dengan Hari
Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun.

“Bulan Menabung SSPN dengan Hari Tabungan Sedunia amat signifikan kerana kedua-duanya membawa kepada budaya penabungan yang perlu diterapkan dalam diri setiap individu. Atas semangat ini, PTPTN memilih bulan Oktober untuk menganjurkan program Bulan Menabung SSPN 2020 dengan #mulakansekarang sebagai acara tahunan untuk meraikannya sempena Hari
Tabungan Sedunia,” tambahnya lagi.

Hari Tabungan Sedunia atau World Savings Day telah diperkenalkan pada 31 Oktober 1924 yang diputuskan ketika Kongres Bank Simpanan Antarabangsa kali pertama di Milan, Itali.

Matlamat utamanya adalah untuk menyemai minat menabung dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia.

Ia kemudiannya, diraikan untuk kali pertama pada 1925 seterusnya dijadikan acara tahunan pada setiap 31 Oktober.

Pada tahun 2020, tema Hari Tabungan Sedunia adalah ‘when you save a bit, big things follow’ atau mengikut pepatah Melayu adalah ‘simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.

Dalam konteks simpanan SSPN, Wan Saiful berkata, simpanan boleh dibuat serendah RM1 sehari. Dengan serendah RM1 sehari ini, pelbagai manfaat yang diperoleh ibu bapa untuk masa depan pendidikan anak-anak.

“Masa depan anak-anak akan terus terjamin walaupun ketiadaan/ kematian ibu bapa kerana SSPN adalah produk bersadur perlindungan sehingga RM1 juta.

“Melalui tabiat dan budaya menabung yang disemai, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang bantuan dapat dielakkan daripada terus menjadi pegangan hidup,” ujar Wan Saiful lagi.

Selain itu, katanya amalan menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga dan individu kerana dengan amalan menabung membolehkan kita menyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat.

“Sebagai ibu bapa pastinya mengimpikan anak-anak berjaya ke menara gading dan mendapat pekerjaan yang hebat-hebat. Impian ini perlu diterjemahkan melalui tindakan ibu bapa itu sendiri dengan menyediakan perancangan kewangan dan simpanan secara konsisten.

“Buatlah simpanan SSPN kerana pastinya ia akan memberi faedah yang amat besar kelak,” tambah Wan Saiful.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pula berkata, hasrat dan fokus PTPTN adalah jelas iaitu untuk memastikan graduan pada masa hadapan hanya mempunyai hutang pendidikan yang minimum melalui penabungan yang dilakukan dengan lebih awal.

“PTPTN adalah ‘Tabung Pendidikan’ dan itulah yang harus disematkan dan diingati oleh setiap daripada kita.

Pada tahun ini, PTPTN telah mensasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.5 billion dengan 400,000 akaun baharu.

Rekod sehingga September lalu telah menyaksikan pencapaian sebanyak 329,465 akaun baharu berbanding sasaran sebanyak 268,000 akaun.

Deposit yang diterima bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM983.21 juta iaitu 147.35 peratus melebihi sasaran sehingga September 2020 sebanyak RM397.50 juta.

Semenjak dilancarkan pada tahun 2004 sehingga 30 September lalu, sebanyak 4.7 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.87 bilion.- MalaysiaGazette

Video Majlis Penutup Bulan Menabung SSPN & Sambutan Hari Tabungan Sedunia 2020 :

https://www.facebook.com/MalaysiaGazette/videos/384202956270653/