PDRM

MELAKA – Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Taman Malim Jaya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata mayat Lai Hee Miow ditemukan di bahagian hadapan tempat duduk penumpang kereta Proton Iswara dalam kebakaran kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Beliau berkata kereta yang didaftarkan atas nama anak mangsa diparkir di tepi selekoh di taman itu, dalam jarak selang sebuah rumah dari rumah mangsa.

“Sebelum kejadian, anak perempuan mangsa pulang ke rumah dan melihat mangsa berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpang dalam keadaan gembira kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi.

Namun 45 minit kemudian, ahli keluarga mangsa yang berada di dalam rumah mendengar suara jiran taman menjerit menyatakan kebakaran berlaku sebelum mereka bertindak keluar dari rumah dan mendapati jiran sedang memadam kereta yang terbakar itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata tiada saksi melihat punca kebakaran berlaku dan insiden disedari jiran mangsa ketika api sedang marak dari dalam kereta sebelum cuba memadamkannya.

Beliau berkata menurut ahli keluarga mangsa yang berusia 65 tahun itu hanya duduk di rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas.

Katanya mangsa sebelum itu pernah mendapat rawatan mental di Hospital Pantai sejak 2017 hingga sekarang dan kali terakhir lelaki itu sepatutnya mendapat pemeriksaan mental pada Jun tetapi enggan berbuat demikian serta tidak mengambil ubat yang diberikan doktor.

“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba dan hasil siasatan awal dapati tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat ke atas kebakaran yang berlaku,” katanya.

— BERNAMA