Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan terutama untuk graduan dan anak muda yang berdepan pengangguran susulan penularan COVID-19 di negara ini, dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata golongan itu merupakan antara kelompok yang terkesan dengan hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Jika dilihat setiap tahun, sekitar 200,000 graduan yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi di negara ini dan hampir 300,000 graduan dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia.

“Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan terhadap golongan belia oleh pasukan penyelidik UPM baru-baru ini, mendapati mereka inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan,” katanya kepada Bernama.

Namun, dengan peluang pekerjaan yang terhad akibat penyusutan beberapa sektor ekonomi susulan COVID-19, golongan belia bimbang akan pengangguran dengan hampir 544,500 belia dikatakan masih menganggur pada Julai 2020.

Justeru, Mohd Mursyid mencadangkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata.

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini dan golongan belia disaran untuk merebut peluang sebaik-baiknya dan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui program myGIG Belia.

“Namun, Belanjawan 2021 juga perlu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar secara lebih agresif kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada jalur lebar tetapi masih terdapat ‘blind spot’ di kawasan dalam bandar yang mengalami masalah Internet apatah lagi bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan dalam melatih belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan golongan itu yang berdaya tahan, di samping menyediakan program pembangunan kompetensi belia.

Program seumpama itu, beliau berkata perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran belia sedia ada (reskilling) dan menyilangkan belia dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksana kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang kian mencabar.

“Kerajaan juga disaran meneruskan insentif ‘Place and Train’ melalui program latihan perantisan dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada graduan dan individu yang kehilangan pekerjaan.

“Peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri perlu disemarakkan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini,” katanya.

— BERNAMA