Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran lemah minggu depan sementara menunggu pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov.

Seorang penganalisis berkata, analisis teknikal di petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan corak lemah yang menandakan momentum yang lebih rendah.

“Indeks kekuatan relatif (RSI) bagi FBM KLCI ketika ini berada pada 14, di bawah RSI 30, yang menandakan kedudukan terlebih jualan.

“Bagaimanapun, sementara menunggu perkembangan tempatan, momentum itu sama ada akan meningkat atau terus jatuh lagi selepas pembentangan belanjawan pada Jumaat depan,” katanya.

Pelabur-pelabur juga akan menunggu keputusan kadar faedah oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Selasa (3 Nov) serta pengumuman data pengangguran dan pengeluaran perindustrian Malaysia pada 9 Nov.

Beliau berkata selain pembentangan belanjawan dan mesyuarat MPC, pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung pada 3 Nov juga akan mempengaruhi pergerakan pasaran terutamanya di pasaran sedang pesat membangun.

FBM KLCI dijangka mencatatkan pergerakan tidak menentu antara paras 1,430 dan 1,470 sementara menunggu pengumuman belanjawan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, bursa tempatan menyaksikan jualan besar-besaran di Pasaran ACE, menerajui penurunan indeks hampir 11 peratus kepada 9,443.20 berikutan ketidaktentuan di pasaran tempatan.

Pada Jumaat, pasaran mencatatkan penurunan terbesarnya di keseluruhan papan dengan FBM KLCI menjunam 28.31 mata atau 1.89 peratus selepas aliran rendah berterusan pada minggu ini.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran dipengaruhi secara langsung oleh senario politik tempatan, Belanjawan 2021, pilihan raya baharu yang mungkin diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 dapat dikawal, penurunan harga minyak mentah dunia serta pergerakan pasaran global.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

FBM KLCI turun 27.75 mata minggu ini kepada 1,466.89 berbanding 1,494.64 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas berkurangan 213.65 mata kepada 10,613.58, Indeks FBMT 100 turun 208.0 mata kepada 10,423.63 dan Indeks Syariah FBM Emas Shariah jatuh 212.43 mata kepada 12,741.68.

FBM 70 susut 273.25 mata kepada 13,985.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 349.77 mata kepada 12,009.39 dan Indeks Perladangan susut 53.10 mata kepada 6,801.90 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 3.22 mata kepada 141.14.

Indeks Teknologi berkurangan 1.09 mata kepada 59.69 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan turun 38.49 mata kepada 3,083.37.

Semasa minggu dagangan yang singkat ini, jumlah dagangan turun kepada  21.09 bilion unit bernilai RM16.16 bilion daripada 42.67 billon unit bernilai RM25.89 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 11.43 bilion saham bernilai RM12.94 bilion daripada 23.18 bilion saham bernilai RM20.43 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.84 bilion unit bernilai RM735.43 juta berbanding 4.06 bilion unit bernilai RM988.80 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga susut kepada 6.80 bilion bernilai RM2.48 bilion daripada 14.66 bilion saham bernilai RM4.22 bilion. – MalaysiaGazette