Boris Johnson

LONDON – Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan sekatan pergerakan kedua untuk England bagi mengelakkan bencana moral dan perubatan bagi National Health Service.

Katanya, sambutan Krismas tahun ini sangat berbeza tetapi berharap langkah ini membolehkan setiap keluarga berkumpul.

Pub, restoran, gimnasium dan kedai bukan keperluan penting akan ditutup selama empat minggu mulai hari Khamis.

Tetapi sekolah, kolej dan universiti dibenarkan beroperasi.

Selepas 2 Disember, semua sekatan berkenaan akan dilonggarkan dan wilayah itu akan kembali kepada sistem seperti biasa, katanya.

“Krismas akan menjadi berbeza tahun ini, mungkin sangat berbeza, tetapi harapan saya dengan langkah ini kita dapat bersama keluarga,” ujar beliau.

Johnson meminta maaf kerana langkah ini akan memberi kesan terhadap perniagaan, tetapi memaklumkan kerajaan akan membayar 80% daripada gaji pekerja sehingga November.

“Tidak ada perdana menteri yang bertanggung jawab akan membiarkan angka kematian mencapai ribuan sehari dengan puncak kematian lebih buruk daripada yang dilihat pada bulan April, kata Johnson.

Beliau memberitahu, kebanyakan katil hospital bahkan di barat daya England yang menyaksikan kes paling rendah, akan penuh dalam beberapa minggu lagi

“Doktor dan jururawat terpaksa memilih pesakit mana yang akan dirawat, siapa yang akan mendapat oksigen dan siapa yang tidak, siapa yang akan hidup dan siapa yang akan mati,” kata Johnson.

United Kingdom bukan satu-satunya negara yang melihat perkembangan penyakit ini dengan cara yang salah, tetapi juga Perancis dan Jerman.

Sejak lebih enam minggu lalu, pembangkang dan menteri-menteri Kabinet Johnson, malah penasihatnya memberi tekanan supaya sekatan pergerakan dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette