KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mahu kerajaan memandang serius gesaan persatuan ini agar menyambung semula moratorium sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, situasi Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa sehingga kini dan ada di sesetengah negeri masih dikenakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) telah menjejaskan pengusaha sektor pelancongan.

”Perlu diingat, selagi sempadan negara tidak dibuka – tiada pergerakan pelancongan yang akan keluar mahupun masuk ke Malaysia, menjadikan pengusaha sektor pelancongan sangat terjejas dari segi pendapatan.

”Kami tidak boleh hanya mengharapkan pelancongan domestik sahaja kerana sektor ini hanya mewakili kurang dari 20% daripada keseluruhan pendapatan sektor pelancongan.

”Di sinilah penggiat sektor pelancongan mengharapkan bantuan kerajaan untuk menyegarkan kembali pelancongan negara dan bersedia untuk memulakan kembali perniagaan apabila sempadan mula dibuka kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kerajaan perlu memandang serius gesaan ini kerana sektor pelancongan telah memberikan pulangan signifikan kepada negara, yang mana memberi sumbangan 15.9% pada ekonomi Malaysia selepas sektor perindustrian dan komoditi pada tahun 2019.

Menurut Mohd Khalid, dengan menyambung semula moratorium untuk tempoh enam bulan lagi, penggiat industri akan dapat memfokus dengan menyusun kembali kewangan syarikat.

Sebagai contoh, agensi pelancongan berpeluang fokus didalam membuat pemasaran destinasi pelancongan manakala pengusaha bas persiaran dapat mengelakkan daripada bas mereka ditarik oleh pihak institusi kewangan disebabkan ketidak mampuan untuk membayar ansuran bas mereka.

MATA juga mahu kerajaan meneruskan subsidi upah supaya pegusaha pelancongan tidak perlu membuang pekerja mereka, sekali gus dapat menyelamatkan lebih daripada 3.6 juta pekerja (23.6% guna tenaga) didalam sektor ini daripada kehilangan pekerjaan.

Tambah beliau, kerajaan juga dicadangkan menyusun semula Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion dengan memberikan kepada agensi kerajaan sedia ada untuk menguruskannya kerana 12 institusi kewangan yang telah dipilih oleh kerajaan telah gagal membantu pengusaha pelancongan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) mereka yang ketat dan menganggap industri pelancongan ini berisiko tinggi.

”Selain daripada memberi pengecualian dari membayar fi lesen sehingga 2022, kerajaan juga perlu memberikan pakej pelepasan cukai yang menarik antaranya dengan pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pelancongan berlesen dan seterusnya menggalakkan pelaburan masuk dalam industri pelancongan ini.

”Langkah-langkah ini perlu disegerakan bagi mengelakkan industri pelancongan negara terus malap sedangkan negara jiran seperti Singapura akan mula membuka sempadan mereka kepada pelanconga dari China dan Australia.

”Malaysia pula masih bergelut dengan ketidak tentuan ekonomi dimana menyaksikan syarikat penerbangan kita diambang muflis, hotel masih menutup operasi dan sebagainya,” jelas beliau.

Mohd Khalid berkata, MATA percaya hanya dengan iltizam dan kesungguhan kerajaan sahaja yang akan dapat menyelamatkan industri ini dari terus hanyut dibadai Covid-19. – MalaysiaGazette