Gambar Fail KWSP. foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2020

SEREMBAN – Golongan yang sangat terjejas oleh pandemik COVID-19 perlu dibantu melalui pemerkasaan kaedah sedia ada seperti peluasan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu meringankan bebanan mereka, kata pakar ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata antara yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memperkenalkan bantuan setem makanan selain melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman.

Menurut pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak itu, kaedah berkenaan lebih sesuai berbanding pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan satu bentuk simpanan untuk hari tua.

“Kerajaan pada masa ini memang sentiasa berhutang dengan KWSP, jadi sekiranya orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran itu, kerajaan perlu membayar hutang terlebih dahulu untuk membolehkan KWSP mempunyai cukup wang untuk dibayar kepada pencarum.

“Pencarum sebenarnya sedang keresahan dan mereka mungkin merasakan (pengeluaran Akaun 1) jalan keluar yang mudah, sedangkan KWSP diwujudkan untuk memastikan setiap mereka yang bekerja akan mempunyai simpanan selepas bersara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun katanya kerajaan boleh melaksanakan kaedah itu dalam bentuk pinjaman, iaitu pencarum perlu “membayar balik” menerusi jumlah caruman yang lebih tinggi pada masa depan.

 “Mereka boleh ambil (daripada Akaun 1) tapi perlu bayar semula melalui jumlah caruman yang sedikit tinggi pada masa depan, misalnya kalau sekarang mencarum 11 peratus (daripada jumlah gaji bulanan), boleh tambah 15 peratus untuk ‘recover’ semula dan kalau majikan juga boleh bantu dengan turut menambah caruman kepada pekerja,” katanya.

Pada 30 Okt lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP sekalipun ada cadangan agar rakyat dibenarkan berbuat demikian bagi membantu meringankan beban mereka yang bertambah susulan penularan COVID-19.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias dilapor menggesa pencarum membuat janji temu dengan  pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk membantu merancang kewangan mereka.

Ini kerana katanya pengeluaran simpanan Akaun 1 tidak harus menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai.

Sementara itu, penjawat awam Hasnul Ariffin, 40, bersetuju dengan pandangan bahawa akaun tersebut adalah untuk simpanan hari tua dan tidak harus digunakan sekarang memandangkan keadaan mungkin bertambah meruncing pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya rasa mungkin boleh diberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang benar-benar terjejas, yang mungkin tiada sumber langsung untuk meneruskan kehidupan, pastikan mereka kemukakan bukti misalnya surat pemberhentian kerja dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA