Tamrin Ghafar

KUALA LUMPUR – Datuk Tamrin Ghafar telah menghantar notis tuntutan saman kepada beberapa penama yang didakwa memfitnah beliau berhubung projek runding terus bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, notis itu dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi; dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Tan Sri Aziz Yassin.

Katanya, notis tuntutan saman juga akan dihantar kepada blogger dan mereka yang didakwa memfitnahnya menerusi peguamnya, Tetuan Ram Karpal Singh & Company.

“Saya akan teruskan tindakan undang-undang terhadap mereka jika mereka gagal memenuhi tuntutan saya.

“Saya juga bersedia bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan,” katanya dalam tulisan terbaharu yang dimuatnaik menerusi blognya http://tamrintunghafar.blogspot.com/, hari ini.

Tamrin yang merupakan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba menyaman penama berkenaan kerana memfitnahnya menerima projek rundingan terus stesen pemindahan sisa pepejal dari kerajaan PH.

Namun, beliau menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa, projek tersebut sebenarnya dilaksanakan menerusi rundingan terus pada tahun 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Katanya, Zuraida pada 28 Ogos lalu, menggambarkan seolah projek di Taman Beringin, Jinjang Utara itu diberikan secara runding terus kepada syarikat Bumi Segar Indah oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sedangkan, dakwa beliau, projek itu diberi secara runding terus oleh kerajaan BN, yang mana Menteri KPKT ketika itu ialah Tan Sri Noh Omar.

Menurut Tamrin, notis tuntutan bertarikh 13 Oktober 2020 telah dihantar oleh peguamnya kepada Zuraida dan telah diakui terima oleh Setiausaha Politiknya pada 14 Oktober lalu.

Pada tarikh sama juga satu lagi notis tuntutan dihantar kepada Dr. Puad yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di kediamannya di Putrajaya dan melalui surat berdaftar ke Pejabat UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor.

“Notis tuntutan yang  sama akan dihantar kepada  blogger-blogger dan kepada mereka yang terlibat memfitnah saya, ini termasuk Tan Sri Aziz Yassin, yang kebetulan abang kepada  kepada (Tan Sri) Muhyiddin Yassin,” tulis beliau. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.