Hujan lebat dan angin kencang melanda bandar Sorsogon di Filipina, foto Reuters

MANILA – Taufan Goni, taufan paling kuat di Asia tahun ini mendarat di Filipina dengan angin kencang maksimum 225 kilometer sejam.

Perkhidmatan cuaca negara itu memaklumkan taufan melanda Pulau Catanduanes pada hari Ahad jam 4.50 waktu tempatan selepas melintasi Luzon.

Hampir sejuta penduduk telah dipindahkan dari kediaman mereka.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofisika, dan Astronomi Filipina (Pagasa) memberi amaran mengenai banjir (termasuk banjir kilat), tanah runtuh akibat hujan, dan aliran mendapan di daerah Luzon dan pulau-pulau di Visayas dan Mindanao

“Dalam 12 jam akan datang, angin kencang bencana dan hujan lebat dan banjir kilat akan berlaku.

”Ribut bergerak ke arah barat selaju 25km/jam, dan dijangka melintasi Luzon di selatan Manila dan terus ke Laut China Selatan pada petang Ahad.

Goni – dikenali sebagai Rolly di Filipina – adalah ribut paling kuat melanda Filipina sejak Taufan Haiyan membunuh lebih daripada 6,000 orang pada tahun 2013.

Kali ini, persiapan dibuat rumit disebabkan penularan virus Covid-19, yang telah menyebabkan 380,739 jangkitan dan menyebabkan 7,221 kematian di Filipina.

“Kami mengalami keadaan yang sulit dengan Covid-19 dan kemudian bencana yang lain,” kata Senator Christopher Go, pembantu utama Presiden Rodrigo Duterte, pada sidang akhbar yang diadakan secara maya.

Ketua Pertahanan Awam, Ricardo Jalad memberitahu, hampir satu juta orang di wilayah Bicol timur Luzon telah meninggalkan kediaman masing-masing.

Kira-kira 1,000 pesakit koronavirus di Manila dan wilayah Bulacan yang berdekatan kini ditempatkan di khemah pengasingan besar, mungkin akan dipindahkan ke hotel dan hospital, katanya.

Penduduk didesak untuk siap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir besar dan tanah runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang.

“Ribut akan berlaku di pantai timur kita,” kata Mark Timbal, dari Majlis Pengurusan Risiko Bencana Nasional, pada masa sama turut memantau gunung berapi Mayon dan Taal kemungkinan berlaku aliran lumpur gunung berapi.

Semua pelabuhan dan lapangan terbang telah ditutup manakala sekolah, gimnasium, pusat pemindahan yang dikendalikan oleh kerajaan digunakan untuk tempat perlindungan.

Alat-alat bantuan, mesin berat dan peralatan pelindung diri dipindahkan ke daerah yang memerlukan.

Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setahun.

Kira-kira 22 orang terbunuh minggu lalu ketika Taufan Molave ​​melintasi wilayah yang sama. – MalaysiaGazette