NIBONG TEBAL – Seramai 14 banduan di Penjara Seberang Perai, Jawi dekat sini yang menunggu untuk dibebaskan dalam tempoh sebulan ini disahkan positif COVID-19 semalam.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, semua banduan itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan kedua COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kini menjadi prosedur penjara, bagi banduan menunggu untuk dibebaskan mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 untuk memastikan mereka bebas daripada wabak itu, supaya virusnya itu tidak terus menular apabila mereka dibebaskan nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehingga kini, Penjara Seberang Perai mencatatkan 270 kes positif COVID-19 dengan tiga kes aktif melibatkan pegawai penjara, yang semuanya telah pulih dan dibenarkan keluar Hospital Pulau Pinang.

Penjara Seberang Perai dan kawasannya termasuk kuarters kakitangan, yang melibatkan 2,110 banduan, 1,129 kakitangan penjara dan anggota keluarga serta 32 kakitangan kerajaan, kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 4 November ini. – Bernama