Anggota polis mengawal ketat pintu masuk di hadapan parlimen bagi persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dan Pembentangan Belanjawan 2021 yang akan bermula dari 2 November di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR -Kenderaan yang berurusan di Parlimen menjelang sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini akan melalui pemeriksaan anggota polis yang ketat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati khemah polis telah didirikan kira kira 200 meter dari persimpangan jalan menuju ke bangunan Parlimen.

Para wartawan dan jurugambar yang tidak tersenarai membuat liputan sidang Dewan Rakyat pagi ini berada di hadapan khemah polis untuk melaporkan perkembangan terkini di luar Parlimen.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), petugas media yang membuat liputan sidang Dewan Rakyat dihadkan kepada 15 organisasi terpilih dan mereka diwajibkan menjalani ujian calitan pada minggu lalu.

Kenderaan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon kelihatan memasuki kawasan Parlimen pada jam 8.20 pagi diikuti kenderaan Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 15 minit kemudian.

Berikutan pemeriksaan ketat yang memerlukan surat pengesahan ditunjukkan kepada anggota bertugas, keadaan trafik di hadapan Parlimen sesak dengan deretan kenderaan sebelum mereka dibenarkan memasuki kawasan Parlimen. – MalaysiaGazette