KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan sebuah kolaborasi dalam usaha bersama untuk mengukuhkan lagi kesediaan digital Malaysia, ke arah merealisasikan aspirasi Negara Digital.

Kolaborasi tersebut merangkumi empat bidang utama iaitu, untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) secara digital; merancakkan ekonomi digital luar bandar; memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran-kemahiran digital; dan memanfaatkan kelebihan kedua-dua pihak dalam melaksanakan program-program sokongan digital dan interaksi dengan komuniti.

Lebih penting, kerjasama ini membawa dua organisasi nasional, MDEC dan TM, bergerak seiring ke arah memberikan capaian digital dan impak ekonomi lebih besar bagi kemakmuran
bersama buat seluruh rakyat Malaysia, kata TM.

Di bawah MoU berkenaan, TM dan MDEC akan bekerjasama dalam memadan, memperkenal dan menghubungkan TM dengan ekosistem MSME serta rakan-rakan utama MDEC seperti program
Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS), Pusat Internet Desa (PID) dan Digital Xceleration (DX), serta pelanggan-pelanggan MSME TM bagi menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang teknologi yang telah dikenalpasti oleh TM ke arah memperkukuh komuniti SME.

Ini akan membuka ruang bagi melahirkan para usahawan serta MSME yang mahir perniagaan dan teknologi, seterusnya akan memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam memperkasa ekonomi digital luar bandar, kedua-dua organisasi akan meneroka inisiatif-inisiatif bagi memperluaskan lagi infrastruktur sambungan yang kemudiannya mampu membantu melatih masyarakat tentang cara untuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini bagi memperbaiki operasi perniagaan.

TM berkata, kedua-dua pihak akan turut mengendalikan latihan dan bengkel-bengkel untuk mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi digital kumpulan masyarakat yang dikenalpasti serta anggota-anggota TM.

Pada masa yang sama, menurut TM dapat membina para graduan yang kompeten bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka.

Ini termasuklah mengetengahkan kesedaran kemahiran-kemahiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) kepada para guru, pelajar dan golongan belia bagi mempersiapkan mereka untuk era digital. – MalaysiaGazette