Setiusaha Sulit MB Selangor
Setiausaha Sulit merangkap Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifudin Shafi Muhamad

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini mengesahkan pihaknya menerima kertas siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ke atas Datuk Seri Amirudin Shari berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Setiausaha Sulit merangkap Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifudin Shafi Muhamad berkata, kertas siasatan itu mengikut Seksyen 15 dan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bagaimanapun, Saifudin Shafi mengulangi pendirian Menteri Besar sebelum ini bahawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu tidak melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) seperti yang didakwa.

“Menteri Besar Selangor telah pulang dari Sabah pada 28 September dan terus menjalani swab test / saringan Covid-19 menggunakan kaedah RT-PCR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Pada 29 September, ujian tersebut didapati negatif. Mengikut direktif Kerajaan Persekutuan, kuarantin tidak perlu dijalankan untuk individu yang dikesan negatif saringan ujian RT-PCR.

“Tambahan pula, Datuk Seri Amirudin Shari turut diberi surat pelepasan HSO ekoran keputusan ujian tersebut.

“Namun, atas prinsip kebertanggungjawaban, beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati dan bertanggungjawab, melebihi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 24 Oktober lalu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan memanggil Menteri Besar itu ke Bukit Aman dalam tempoh terdekat.

Ia bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah pada 5 Oktober lalu.

Pada 4 Oktober lalu, Amirudin memaklumkan beliau terpaksa menangani dan memberi tumpuan kepada pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang berasal dari pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

Pencemaran bau itu telah menyebabkan 309,687 akaun air melibatkan hampir 1.3 juta pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

“Malah atas prinsip akauntabiliti, Dato’ Menteri Besar turut telah memaklumkan tindakan tersebut kepada orang awam melalui media sosial beliau pada hari yang sama,” katanya.

Katanya, adalah wajar sekiranya perkara-perkara sebegini tidak dipolemikkan secara berlebihan sehingga menambah beban kerja PDRM, apatah lagi dalam keadaan ribuan anggota polis terpaksa menjalani kuarantin rentetan gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini.

“Sebagai masyarakat yang bijak, kita haruslah melihat kepada fakta dan undang-undang sebelum membuat sebarang dakwaan.
“Pejabat Menteri Besar Selangor memberikan jaminan bahawa

“Datuk Seri Amirudin Shari  akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam memastikan keluhuran undang-undang terus dihormati dan terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette