KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew meluahkan rasa sedih dan terharunya terhadap pemergian seorang anggota polis dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru yang meninggal dunia apabila kereta peronda polis (MPV) yang mereka naiki terbalik ketika mengejar kereta Perodua Myvi yang dinaiki penjenayah.

Ebit yang meluangkan masa menziarah mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20 semalam menyifatkan pengorbanan anggota polis itu demi negara tidak akan terbalas.

“Sayu sangat hati hari ini perginya seorang pejuang anggota PDRM Konstabel Nicholester Dadup Unggat dan seorang lagi cedera parah L-Kpl Mohamad Fadhirul. Mereka kemalangan semasa mengejar penjenayah.

“Kakaknya mendiang tadi kata, terharu sangat dan tak sangka ustaz datang ke sini. Saya ikut ustaz. Kakaknya menangis je tadi. Esok mendiang akan dibawa ke Sibu oleh PDRM semuanya.

“Dari kecil beliau ingin menjadi polis. Banyak kali interview naik bas. Cita-citanya mahu jadi polis. Baru berumur 20 tahun. Kakaknya nurse (jururawat) di hospital. Menangis je tadi. Sempat beri kata semangat dan ucap takziah dan sabar. Baik kakaknya,” katanya menerusi Facebook.

Ebit Lew berkata, ketibaannya disambut baik dan mesra oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau turut melawat seorang lagi anggota polis yang cedera parah iaitu Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32 tahun.

“Saya beri sumbangan RM2,000 setiap keluarga. Tak terbalas perjuangan dan pengorbanan mereka. Semoga keluarga semua tabah,” tambahnya.

Semalam anggota polis Unit MPV, Konstabel Nicholester maut manakala rakan setugasnya cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki terbalik ketika mengejar sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki penjenayah, di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette