JOHOR BAHRU – Seramai 80 penduduk Kampung Batu 10, Skudai dekat ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat selama beberapa jam pada petang semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, PKPgB Mohd Riduan Akhyar berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima laporan kejadian itu pada 6.52 petang dan 13 anggota bersama tiga jentera termasuk sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika bomba tiba, didapati ramai mangsa terperangkap di dalam rumah masing-masing namun berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Batu 10, Skudai menggunakan sebuah bot aluminium.

“Operasi menyelamat semua mangsa turut dibantu oleh polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 44 orang dewasa, 35 kanak-kanak dan seorang lelaki kurang upaya.

Operasi menyelamat ditamatkan pada 9.45 malam. – MalaysiaGazette