Siling peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 akan ditambah RM20 bilion sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan peruntukan bagi tujuan berkenaan kini mencecah RM65 bilion.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kes baharu positif dalam negara sekali lagi melonjak kepada empat angka iaitu sebanyak 1,054 kes dalam perkembangan terkini pandemik Covid-19 hari ini.

Angka terbaharu sehingga jam tengah hari tadi itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di dalam negara adalah sebanyak 34,393 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 10,135 kes.

Negeri Sabah masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 678 kes (64.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif harian sementara sebanyak 310 kes (29.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).

“Ini adalah berikutan lebih banyak saringan yang dijalankan di negeri-negeri yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media perkembangan harian Covid-19 di sini, hari ini.

Menurut beliau, bilangan kes pulih pula sebanyak 875 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 23,995 kes (69.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya,  daripada 1,054 kes baharu, terdapat 14 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara.

Empat kes tiba dari negara Korea Selatan, Jepun (2 kes); Filipina (2 kes), manakala masing-masing satu kes di Uzbekistan, China,Hong Kong, Nepal, United Kingdom dan Republik Maldives.

Daripada 1,040 kes penularan di dalam negara, katanya, tujuh kes merupakan pengunjun yang pulang dari Sabah sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 478 kes.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette