Perodua Bezza antara model terlaris.

KUALA LUMPUR – Perodua berjaya mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 26,852 kenderaan pada Oktober 2020, selepas memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarahnya sebanyak 25,035 unit pada September 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua telah menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada Oktober.

Tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia
setakat tahun ini.

Menurutnya, pada September lalu, Perodua mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah syarikat dan kini Perodua telah mengatasi pencapaian tersebut.

”Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif.

”Dalam Oktober sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut
terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang,” tambah beliau.

Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat
insurans.

Dari segi kapasiti pengeluaran, Perodua berada 98% secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh.

”Dengan komitmen para pembekal, pengedar-pengedar sah kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan yang paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kami kerana kenderaan Perodua mereka dihantar dalam tempoh yang terdekat,” tambah beliau.

”Kami sedang berusaha untuk mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran ini bagi memastikan penghantaran kekal tinggi dan para pelanggan kami berpuas hati  dengan menyediakan kemampu-milikan bagi semua produk dan perkhidmatan
kami,” tambah beliau.

Dalam memberi lebih ganjaran kepada para pelanggannya, Perodua menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Di samping itu, Perodua juga turut menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember 2020. – MalaysiaGazette