hajj quota hajj pilgrims Malaysia Makkah Saudi Arabia
Kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 kepada semua bakal jemaah haji. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Malaysia  menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi yang memberi kebenaran kepada jemaah luar negara mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Di pihak Malaysia,  Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan Umrah di Tanah Suci.

Kedua-dua menteri terbabit iaitu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi kenyataan bersama berkata, pemantauan terhadap perkembangan Covid-19 akan dilakukan setiap masa.

Kedua-dua menteri itu juga akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia KKM).

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak. Bagi Kerajaan, keselamatan dan kesihatan Jemaah
umrah Malaysia merupakan keutamaan tertinggi,” kata kedua-dua menteri itu.

Baru-baru ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan telah menetapkan 10 hari sebagai tempoh maksimum untuk jemaah asing tinggal di negara itu.

Menurutnya, tempoh tempahan yang diterima setakat ini adalah hingga 31 Disember.

Kumpulan jemaah luar yang pertama sudah mula tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz sejak petang semalam.

Manakalafasa ketiga ibadah itu, seramai 20,000 jemaah umrah dan 60,000 orang dibenarkan memasuki Masjidil Haram sehari.-MalaysiaGazette